The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Gergasi Merah Waspada Ancaman Harimau Kumbang

Mar 19, 2021 - FAS

Setelah pulang dari Stadium Sultan Ibrahim pada pertengahan minggu ini, pasukan Selangor terus melakukan persiapan rapi untuk melayani kunjungan pasukan Penang FC ke Stadium MBPJ malam ini.

Dengan merekodkan satu kemenangan, satu tewas dan dua seri dari empat perlawanan lalu, skuad bimbingan Karsten Neitzel semakin optimis untuk mencari rentak kemenangan ke atas skuad Harimau Kumbang demi meletakkan posisi yang lebih baik dalam carta Liga Super 2021.

Untuk rekod, kali terakhir Gergasi Merah bertemu Penang FC adalah pada saingan Liga Super 2017 dengan kemenangan 3-1 jaringan Andik Vermansah dan dua gol daripada Rufino Segovia di Stadium Negeri, Batu Kawan.

Keputusan sewaktu menentang juara bertahan liga, JDT pada perlawanan sebelum ini dilihat memberikan motivasi yang diperlukan untuk berhadapan dengan pasukan yang telah menjuarai saingan Liga Premier pada tahun lalu.

"Kita memerlukan permainan sebegitu untuk meneruskan perjuangan. Semua pemain kini berada dalam motivasi yang baik dan ini sudah pasti akan membantu saya dan barisan kejurulatihan meneruskan persediaan untuk perlawanan seterusnya," ulas Karsten.

"Seperti yang sedia maklum, untuk kesebelasan utama, kami akan melihat situasi kecergasan beberapa pemain yang kami terpaksa keluarkan semasa perlawanan yang lalu sekiranya mereka sudah kembali ke tahap kecergasan yang baik. Namun saya yakin dengan barisan pemain yang akan saya turunkan pada malam ini (menentang pasukan Penang FC)."

Apabila ditanyakan soal pemain lawan yang perlu diberikan perhatian, Karsten memberikan komen berikut:

"Penang FC mempunyai seorang penyerang prolifik seperti Casagrande dan kita perlu berhati-hati dengan pemain seperti dia. Walau apapun, kita akan bermain sehabis baik untuk mendapatkan tiga mata terakhir sebelum liga berehat seketika."

Untuk rekod, perlawanan liga ke-5 ini merupakan perlawanan terakhir bulan ini sebelum liga berehat seketika untuk memberikan laluan untuk persediaan skuad kebangsaan, sebelum ia disambung semula pada 2 April ini.

Dari senarai kecederaan pemain, empat pemain Gergasi Merah tidak dapat disenaraikan untuk perlawanan ini seperti Nik Sharif Haseefy (kecederaan buku lali), K. Sarkunan (kekejangan lutut), R. Dinesh (hamstring kiri) dan Halim Saari (ligamen krusiat).

Selangor yang berada di kedudukan ke-5 dengan 5 mata, hanya dibezakan dengan 1 perbezaan gol dengan jumlah mata yang sama dengan Penang FC yang menghuni tangga ke-7 liga.

Semoga pasukan Selangor FC dapat mempamerkan keputusan positif dan mendapatkan 3 mata penting dalam perlawanan malam ini dalam persaingan kejuaraan Liga Super 2021.

Demi Kebanggaan!